Jana Pendapatan Dengan SHOPEE !

Friday 6 September 2019

56 Tempat Menarik Di Johor...Jomlahh Kita Terokai Tempat-Tempat Menarik Di Johor Sekarang !

Tak perlu gusar kerana sebuah negeri di selatan Semenanjung Malaysia menyediakan semuanya untuk anda. Johor Darul Takzim, sebuah negeri yang kini pesat membangun, kaya dengan pelbagai keunikan dan tarikan pelancong.
Baik keindahan pulau, pantai, dan gunung, keenakan dan keaslian makanan tempatan, mahupun kemegahan bangunan dan monumen bersejarah, negeri yang terdiri daripada 10 buah daerah ini menjanjikan pengalaman percutian yang terbaik untuk pelbagai jenis pelancong.
Anda tidak akan salah jika anda membuat keputusan untuk melancong ke Johor kerana kami di Mai Singgah akan menceritakan mengapa Johor sepatutnya berada dalam senarai tempat yang anda perlu tujui. Di bawah kami telah menyusun 56 tempat menarik di Johor buat panduan bercuti kesana kelak.

Pulau & Pantai Di Johor

Selain semakin terkenal dengan pasukan bola Harimau Selatan, Johor juga kini semakin terkenal di kalangan pelancong dengan tarikan pantai dan gugusan pulau yang cantik.

56. Pantai Desaru, Kota Tinggi



Pantai Desaru
Sumber: Findbulous

Pantai yang tidak asing di kalangan pelancong ini terkenal dengan pasir yang putih, di samping pemandangan menghadap Laut China Selatan. Terdapat pelbagai kemudahan resort di sepanjang pantai, Desaru merupakan kawasan tumpuan untuk keluarga bercuti. Berbagai-bagai aktiviti menarik boleh didapati di sini seperti snorkelingjet ski, dan parasailing.
Bagi peminat aktivtiti surfing, anda boleh berkunjung ke sini pada Disember hingga Februari di mana pada waktu itu ombak agak kuat dan sesuai untuk aktiviti peluncuran. Selain itu, anda boleh melihat kunang-kunang di Sungan Lebam pada waktu malam untuk melengkapkan percutian anda di sini.
📍 Alamat
Alamat: Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi

55. Pantai Stulang Laut, Johor Bahru



Pantai Stulang Laut
Sumber: Zue Bob

Antara salah satu pantai yang terletak di bandaraya Johor Bahru, pantai ini menjadi tumpuan penduduk sekitar atas beberapa faktor. Antaranya ialah lokasinya yang berdekatan dengan Zon Bebas Cukai memudahkan pengunjung bersiar-siar setelah selesai membeli belah. Selain itu, terdapat Medan Selera Stulang yang meyediakan makanan laut yang sedap dan lazat.
Para pengunjung biasanya datang ke pantai ini pada waktu malam untuk menjamah hidangan seafood sambil melihat cahaya lampu yang datang dari Singapura sambil dibelai angin laut.
Makanan laut yang sedap, pemandangan cahaya lampu dari negara jiran yang indah, bayu laut yang dingin sambil ditemani deruan ombak, PantaI Stuang Laut menjanjikan pengalaman yang tidak mudah untuk anda lupakan sekiranya anda datang ke sini.

54. Teluk Mahkota, Kota Tinggi



Teluk Mahkota Kota Tinggi
Sumber: Tourism Johor

Pantai sepanjang 12km ini merupakan antara pantai yang sesuai jika anda mencari tempat rekreasi yang sunyi dan tidak sesak dengan orang ramai.
Pada mulanya dikenali sebagai Jason Bay, pantai ini masih tidak terkenal di kalangan pengujung dan menawarkan persekitaran yang bersih serta deruan angin Laut China Selatan yang menyamankan.
Anda boleh beristirehat bersama keluarga atau rakan-rakan anda di sini sambil berkhelah atau berbarbeku. Di sini juga terdapat sebuah resort jika anda mengambil keputusan untuk bermalam di sekitar pantai ini.

53. Danga Bay, Johor Bahru



Dangga Bay Johor
Sumber: ASEAN Skyline

Siapa lagi tidak kenal dengan tempat ini yang menjadi tumpuan penduduk Johor Bahru tidak kira siang atau malam. Kawasan perairan yang giat membangun ini menyediakan pelbagai tarikan seperti tempat rekreasi, aktiviti kebudayaan, dan taman permainan untuk kanak-kanak. Selain itu, terdapat banyak pilihan makanan di sini di mana anda boleh memilih daripada gerai tepi jalan hingga restoran mewah bertaraf lima bintang.
Terdapat juga Danga City Mall iaitu pusat membeli belah yang terletak berdekatan dengan kawasan ini.
Pemandangan indah dengan limpahan lampu pada waktu malam, pelbagai pilihan makanan, dan angin nyaman dari laut, Danga Bay sudah pasti menjadi salah satu tempat yang wajib dilawati jika anda datang ke Johor Bahru.
📍 Alamat
Alamat: Danga Bay, Johor Bahru

52. Pantai Air Papan, Mersing



Pantai Air Papan
Sumber: Wan Hasyidan

Antara pantai yang terkenal di Mersing, terdapat beberapa chalet dan homestay di sekitar pantai ini. Sesuai untuk percutian keluarga, persekitaran pantai yang bersih amat sesuai untuk anda mandi manda di sini. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti lain iaitu bermain layang-layang dan berkayak di sekitar pantai ini.
Kawasan ini tidak sesuai untuk dilawati pada musim tengkujuh kerana angin yang kuat dan ombak yang agak deras dan boleh membahayakan keselamatan anda.
📍 Alamat
Alamat: Kampung Air Merah, Mersing

51. Pantai Teluk Gorek



Pantai Teluk Gorek Johor
Sumber: Kevin Choong C K

Tak berpeluang untuk melawat pulau-pulau yang ditawarkan di sekitar perairan Johor kerana kesuntukan masa atau bajet, anda boleh menikmati keindahan persis di kawasan pulau sekiranya melawat Pantai Teluk Gorek.
Pantai yang membentangkan pemandangan sekitar Laut China Selatan dengan air jernih adalah lautan yang tidak sunyi dari pukulan ombak. Sambil mendengar bunyi ombak yang menyegarkan halwa telinga, anda turut dapat merasai kelembutan bayu laut yang sentiasa bertiupan.
📍 Alamat
Alamat: Pantai Teluk Gorek, Jln Teluk Gorek, Endau 86900

50. Pulau Sibu, Mersing



Pulau Sibu
Sumber: Rimba Resort

Taman Laut Mersing yang dibuka pada tahun 1993 terdiri daripada 13 pulau yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Antaranya ialah Pulau Sibu yang juga terdiri daripada Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus, dan Pulau Sibu Hujung. Gugusan pulau ini yang terkenal dengan keindahan terumbu karang merupakan kawasan tumpuan peminat aktiviti diving dan snorkeling.
Selain itu, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan air selain bersiar-siar di tepi pantai yang bersih dan cantik. Anda boleh menuju ke bahagian selatan pulau ini, terdapat sebuah kampung nelayan iaitu Kampung Duku sekiranya anda ingin lari dari suasana pantai (yang tidak akan anda jemu).
Terdapat pelbagai resort untuk anda pilih di Pulau Sibu terutamanya di bahagian barat pulau ini (resort pada bahagian ini tutup pada musim monsoon timur laut). Untuk ke Pulau Sibu, anda boleh menaiki feri dari Tanjung Leman, Mersing.

49. Pulau Rawa, Mersing



Pulau Rawa
Sumber: Viral Media Johor

Sebuah pulau kecil yang juga kian dikunjungi ramai pelancong ini terkenal kerana saiz pulaunya yang kecil membolehkan para pengunjung bersiar-siar mengelilingi Pulau Rawa dalam masa yang singkat.
Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini seperti menyelam dan luncur angin. Untuk kelainan, anda boleh mendaki bukit yang terdapat di pulau ini untuk melihat panorama cantik di sekelilingnya.

48. Pulau Tinggi, Mersing



Pulau Tinggi Mersing
Sumber: Travel Photography by Royden

Pulau seterusnya dalam senarai Taman Laut Mersing ialah Pulau Tinggi. Pulau yang terkenal di kalangan pelancong dengan pasir pantai yang memutih ini terletak 45 minit dari jeti Tanjung Leman.
Juga dikenali sebagai General Hat Island, pulau yang dahulunya merupakan kawasan tumpuan para nelayan kerana kawasan perairannya yang kaya dengan berbagai-bagai jenis hidupan laut, kini menjadi kawasan tumpuan penggemar aktiviti memancing.
Selain itu, terumbu karang yang cantik menjadikan pulau ini kawasan yang sangat sesuai untuk anda melakukan aktiviti snorkeling dan diving. Dan kepada yang inginkan sedikit pengembaraan yang mencabar, anda boleh merentas hutan selama 40 minit untuk sampai ke sebuah air terjun yang sangat cantik!

47. Pulau Pemanggil, Mersing



Pulau Pemanggil
Sumber: Visa and Passport Agency

Masih terletak di dalam Taman Laut Mersing, Pulau Pemanggil terkenal dengan kisah mistiknya yang tersendiri. Kisah mistik ini bagaimana pun menjadikan pulau ini kaya dengan terumbu karang yang masih terpelihara dan pelbagai jenis hidupan laut.
Walaupun terletak agak jauh daripada Mersing (perjalanan ke sini biasanya mengambil masa dari 4 sehingga 5 jam), pulau ini masih menjadi kawasan kegemaran pemancing terutamanya pada musim memancing.

46. Pulau Aur, Mersing



Aur Island Mersing
Sumber: Awesome Nature

Pulau yang mengambil masa selama 5-6 jam untuk sampai ke sini, menawarkan pengalaman yang berlainan kepada para peminat aktiviti snorkeling dan diving. Kawasan perairannya terdiri daripada terumbu karang yang cantik dan masih terpelihara.
Di samping itu, hidupan lautnya mampu memukau para penyelam. Hidupan laut eksotik seperti ikan barakuda, manta-ray, dan lain-lain menjanjikan pengalaman diving yang amat memuaskan kepada para penyelam.

45. Pulau Dayang, Mersing



Pulau Dayang
Sumber: Tourism Malaysia

Pulau ini yang terletak bersebelahan Pulau Aur juga menyajikan air laut yang jernih, di samping terumbu karang yang cantik. Pantai yang bersih dan pasirnya yang memutih menjadikan pulau ini tempat persinggahan para pengunjung.
Berehat di tepi pantai sambil dibelai angin Laut China Selatan setelah letih menyelam melihat terumbu karang yang cantik kedengaran seperti aktiviti yang anda tidak boleh lepaskan, tidak begitu?

44. Pulau Besar, Mersing



Pulau Besar Mersing
Sumber: Syok Pulau Mersing

Pulau ini terkenal dengan kisah silamnya yang amat unik. Dikatakan pada zaman dahulu terdapat seorang isteri nelayan di sini bertukar menjadi ikan duyung apabila dia memakan rumpai laut yang diberikan oleh suaminya.
Akibat perasaan cinta yang mendalam, suaminya turut mengikut sekali tindakan isterinya dan bertukar menjadi ikan duyung.
Penduduk tempatan mendakwa pasangan itu kadang-kadang boleh dilihat di sekitar pulau itu sehingga sekarang. Dengan mitos yang penuh romantis, selain air laut yang jernih dan terumbu karang yang cantik, tidak rugi rasanya untuk anda datang singgah ke Pulau Besar.

43. Pulau Tengah, Mersing



Pulau Tengah Mersing
Sumber: Batu Batu – Tengah Island

Masih di Taman Laut Mersing, Pulau Tengah amat terkenal dengan sebuah pusat peranginan yang dinamakan Batu Batu. Seni bina resort ini yang berasaskan rumah kampung Melayu amat sesuai bagi para ibu bapa membawa keluarga mereka untuk bercuti di sini sambil menikmati pemandangan laut yang indah.
Kawasan terumbu karang di pulau ini juga amat cantik untuk aktiviti snorkeling. Selain itu, anda boleh datang ke sini pada bulan Julai untuk menyaksikan penyu bertelur di tepi pantai.

42. Pulau Hujong, Mersing



Pulau Hujong Mersing
Sumber: Pulau Hujong

Pulau ini antara pulau terbesar di samping Pulau Aur dan Pulau Besar. Pulau yang tidak berpenghuni ini menawarkan pantai yang bersih dan cantik untuk anda beristirehat dan merehatkan minda anda.
Kebiasaanya, pengunjung akan melakukan daytrip ke pulau ini memandangkan ketiadaan perkhidmatan penginapan disediakan di pulau ini. Pengunjung boleh menginap di pulau berdekatan seperti Pulau Rawa dan Pulau Tengah.

41. Pulau Gual, Pulau Mensirip, & Pulau Harimau, Mersing

Disebabkan pengunjung biasanya akan melawat ketiga-tiga pulau ini dalam satu masa, kami akan menceritakan tentang pulau-pulau ini sekaligus. Ketiga-tiga pulau ini juga tidak berpenghuni dan tidak menyediakan pusat peranginan.
Terkenal dengan kawasan tumpuan para penyelam, anda boleh meneroka ketiga-tiga pulau ini untuk menjumpai kawasan-kawasan tertentu yang amat unik seperti natural private pool, kawasan untuk cliff diving dan puncak bukit untuk melihat panorama cantik sekeliling pulau.
Terdapat juga gua di Pulau Harimau yang sudah pasti satu pengalaman yang baru dan sangat unik jika anda datang dan masuk ke dalam gua tersebut.

40. Pulau Kukup, Pontian



Pulau Kukup
Sumber: Tourism Malaysia

Selain 13 pulau yang terletak di Mersing, Johor juga mempunyai pulau-pulau lain yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Antaranya ialah Pulau Kukup. Pulau yang terletak di kawasan barat daya Johor ini merupakan antara kawasan paya bakau yang terbesar di dunia.
Menempatkan pelbagai binatang liar seperti monyet, ikan belacak, dan babi hutan, pulau ini diisytiraf sebagai tapak RAMSAR pada tahun 2003.
Terdapat landasan untuk pengunjung bersiar-siar di sekitar pulau ini. Anda boleh datang ke pulau ini dengan bot yang terdapat di Jeti Kukup. Selain itu, Pulau Kukup juga berdekatan dengan Tanjung Piai, kawasan paling selatan bagi negara Malaysia.
  • Pulau dan pantai lain di Johor:
  • Pantai Minyak Beku (Batu Pahat)
  • Pantai Punggur (Batu Pahat)
  • Pantai Tanjung Balau (Kota Tinggi)
  • Pantai Batu Layar (Kota Tinggi)
  • Pantai Lido (Johor Bahru)
  • Pulau Pisang

Tarikan Taman Tema & Zoo Di Johor

39. Zoo Johor, Johor Bahru



Zoo Johor
Sumber: Phanlin Ooi

Sebuah zoo yang terletak di tengah pusat bandaraya Johor Bahru ini mula dibuka pada tahun 1928. Antara salah satu zoo tertua di Malaysia, zoo ini menempatkan lebih 100 spesis haiwan termasuk binatang eksotik dan terancam. Antaranya ialah gajah, singa, gorila, burung flamingo, dan lain-lain.
Anda berpeluang untuk menonton pertunjukan haiwan yang pasti menghiburkan di sini. Terdapat berbagai-bagai gerai makanan di sini untuk memastikan pengunjung zoo dapat berehat dan mengisi perut semasa berada di dalam zoo. Zoo Johor ini pastinya merupakan tempat yang amat sesuai untuk anda bercuti bersama keluarga.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru

38. Ladang Burung Unta, Kota Tinggi



Ladang Burung Unta Johor
Sumber: Yen Xiang Lee

Terletak di Teluk Ramunia, ladang burung unta ini merupakan rumah kepada lebih 100 ekor burung unta. Uniknya, penjaga burung unta di sini akan menjadi pemandu pelancong peribadi untuk setiap pengunjung yang datang sini.
Pengunjung akan dapat menikmati layanan istimewa dan melawat seluruh ladang ini. Sudah pastinya, pengalaman menunggang burung unta menjadi aktivit wajib bila bertandang ke sini.
Pengunjung dapat menunggang burung unta dengan membuat bayaran tambahan. Anda tidak perlu risau kerana penjaga burung unta akan sentiasa berada di sisi anda untuk memastikan keselamatan anda terjaga. Selain itu, terdapat kedai cenderamata di ladang ini untuk anda buat sebagai kenangan.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: EMR 15 Teluk Ramunia, Kota Tinggi

37. Taman Buaya Teluk Sengat, Kota Tinggi



Tamam Buaya Teluk Sengat
Sumber: Ishhar Masrom

Dibuka sejak 1979, taman buaya kini menempatkan lebih 1000 ekor buaya. Anda berpeluang untuk melihat pelbagai jenis buaya di sini malahan dikatakan terdapat buaya yang sudah berusia lebih 100 tahun. Di samping itu, terdapat juga pertunjukan buaya di sini di mana penjaga buaya akan memberi makanan kepada buaya-buaya di dalam sangkar dengan jarak yang dekat.
Untuk pengalaman yang lebih menerujakan, anda boleh memegang sendiri anak buaya yang tidak berbahaya. Anda boleh membelai mereka dan menangkap gambar bersama mereka. Dan untuk melengkapkan perjalanan anda di sini, anda boleh berkunjung ke gerai cenderahati di sini.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Lot 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi

36. UK Agro Resort, Kluang



UK Agro Resort
Sumber: UK Farm Agro Resort

Sebuah ladang ternakan kambing yang juga pusat peranginan ini merupakan salah satu ladang kambing terbesar di Malaysia. Berkeluasan lebih kurang 100 ekar, ladang ini mengandungi lebih 4000 ekor kambing dan biri-biri di samping terdapat haiwan lain seperti rusa dan burung unta. Pelbagai kemudahan disediakan di resort ini seperti chalet, dorm, restoran, dan bilik persidangan.
Resort ini menyediakan bermacam-macam pakej pelancongan pada harga yang berpatutan. Selain itu, setiap pakej juga mempunyai keistimewaan sendiri. Terdapat pelbagai aktiviti disediakan di dalam pakej-pakej ini antaranya ialah lawatan ke ladang kambing dan biri-biri menaiki kereta kuda, lawatan ke ladang rusa, dan lawatan ke kilang pemprosesan bulu biri-biri.
Dan yang lebih menarik, resort ini telah menjalinkan kerjasam dengan penduduk sekitar untuk menjalankan Projek Felda Ayer Hitam Homestay di mana lebih 120 rumah penduduk tempatan dijadikan sebagai rumah tumpangan untuk pengunjung resort ini yang inginkan suasana kampung.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Plot 8, Project Pertanian Moden Kluang, Jalan Batu Pahat, Kluang

35. Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi



Desaru Fruit Farm
Sumber: Pelancongan Merdeka

Ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan lebih 100 ekar ini menawarkan pengalaman kepada para pengunjung untuk mengenal dengan lebih dekat akan kekayaan buah-buahan tempatan.
Mempunyai lebih 100 jenis buah-buahan yang segar, ladang ini juga menyediakan zoo mini, kolam ikan koi, dan lain-lain tarikan. Pengunjung berpeluang untuk memilih buah pilihan sendiri sambil dibantu oleh staf ladang.
Antara buah-buahan berkualiti tinggi yang terdapat di sini ialah durian, durian belanda, jambu madu, jambu batu, limau madu dan berbagai-bagai lagi. Terdapat pelbagai pakej lawatan disediakan di sini, anda boleh memilih untuk menyertai lawatan separuh hari atau bermalam di sekitar chalet yang disediakan.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: no. 92, 82200 Kota Tinggi, Johor

34. Kluang Coffee Powder Factory, Kluang



Kluang Coffee Powder Factory Kluang
Sumber: Citystate Destinations

Kilang yang diasaskan pada tahun 1966 di Jalan Mersing ini dipindahkan ke lokasi sekarang pada tahun 2003 bagi menampung pemintaan peminat kopi ini. Pengunjung berpeluang untuk merasa kopi yang dibancuh segar dengan menggunakan bijian kopi dari sekitar Johor mahupun dari Vietnam dan Amerika Barat.
Di samping itu, anda boleh melihat dengan lebih dekat pemprosesan bijian kopi untuk ditukar menjadi serbuk kopi dengan melawat kilang kopi ini. Untuk pengetahuan anda, kopi ini merupakan kegemaran Sultan Johor apabila pada setiap bulan, kopi ini dihantar ke istana untuk dihidangkan ketika majlis rasmi diadakan.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: 76, Jalan Besar, Kampung Yap Tau Sah, Kluang

33. Legoland Malaysia Resort, Johor Bahru



Legoland Resort Malaysia
Sumber: Legoland Resort Malaysia

Siapa yang tidak kenal dengan permainan Lego. Permainan yang menjadi kegilaan di zaman kanak-kanak kini telah diterjemahkan sebagai taman tema permainan yang amat menyeronokkan. Legoland Malaysia merupakan Legoland pertama di Asia, dibuka pada tahun 2011 dan sehingga kini menarik lebih ribuan pengunjung setiap hari.
Taman tema yang juga mempunyai pusat penginapan sendiri menawarkan lebih 70 daya tarikan dan aktiviti menyeronokkan. Antaranya ialah tunggangan (rides) yang terdiri daripada Dragon’s Apprentice dan Project X. Terdapat juga gelongsor air yang amat menyeronokkan seperti Lego Slide Racer dan Brick Blaster.
Tidak cukup dengan itu, terdapat Miniland di mana tempat ini menayangkan mini monumen terkenal yang dibina dengan Lego seperti KLIA, Putrajaya, Gerbang Istana Sultan Johor, dan macam-macam lagi.
Untuk pengunjung yang ingin bersantai, anda boleh menaiki kereta api Lego yang akan melalui setiap pelusuk Legoland Malaysia. Kepada pengunjung yang ingin menginap di sini, terdapat hotel disediakan iaitu Legoland Hotel.
Keistimewaan diberikan kepada penginap di hotel ini adalah mereka akan mendapat akses istimewa untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu di samping dapat menghadiri pertunjukan Lego yang tidak ada di Legoland. Terletak 10 minit daripada bandaraya Johor Bahru, tidak hairanlah Legoland Malaysia dapat menarik makin ramai pelancong saban hari.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Legoland, Medini, Nusajaya, Johor Bahru

32. Puteri Harbour Indoor Park, Johor Bahru



Puteri Harbour Indoor Park
Sumber: Saya Orang Johor

Terletak di Nusajaya, kawasan yang makin pesat membangun di dalam Johor Bahru, bangunan 4 tingkat ini mengandungi tarikkannya yang tersendiri khususnya buat kanak-kanak. Merupakan taman tema, setiap tingkat di sini mempunyai temanya yang tersendiri. Di aras tanah, terdapat pelbagai café yang bertemakan superhero dan watak kartun.
📍 Alamat
Alamat: Persiaran Puteri Selatan, Kota Iskandar, 79100 Nusajaya, Johor

31. Sanrio Hello Kitty Town, Johor Bahru



Sanrio Hello Kitty Town
Sumber: Sanrio Hello Kitty Town

Terletak di tingkat satu di Puteri Harbour Indoor Park, ia merupakan taman tema Hello Kitty pertama yang dibuka di luar negara Jepun. Kawasan yang lebih digemari oleh kanak-kanak perempuan, tarikan utamanya sudah pastilah Kitty’s House. Rumah yang dihias seakan-akan rumah Hello Kitty ini pasti dapat memberi keseronokan kepada anak-anak anda.
Terdapat juga studio untuk membuat biskut dan barang kemas bertemakan Hello Kitty. Selain itu, ibu bapa boleh serta turut dalam Black Wonder Game di mana peserta perlu menyelesaikan beberapa teka teki dengan menggunakan petunjuk yang telah disediakan.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor

30. Austin Heights Water & Adventure Park



Austin Heights Water & Adventure Park
Sumber: Austin Heights Water Adventure Park

Sudah melawat macam-macam lokasi menarik di sekitar Johor dan dah tak larat nak teruskan perjalanan lagi? Mai bawa keluarga segarkan badan sambil berseronok di Austin Heights Water & Adventure Park. Sekali masuk ke dalam kawasan taman tema air ni, terus terlupa segala kepenatan!
Yang menariknya, Austin Heights bukan sahaja menawarkan Water Park untuk anda sekeluarga bermandi-manda yang padat dengan bermacam jenis permainan air, tapi juga pelbagai tawarkan tarikan untuk berseronok yang lain seperti Adventure Park, Jump Street, Skating Rink dan lain-lain. Sehari memang tak cukup!
📍 Alamat💲 Harga Tiket
Alamat: 71, Jalan Austin Heights 8/1, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru, Johor


29. The Little Big Club, Johor Bahru



The Little Big Club Johor Bahru
Sumber: Hallmark Regency Hotel

Melengkapkan tingkat dua dan tiga di Puteri Harbour Indoor Park ialah taman tema yang bertemakan watak kartun kanak-kanak yang terkenal. Di tingkat 2, pengunjung dapat bermain bersama Pingu, Barney, Bob the Builder, dan Angelina.
Siapa saja yang tidak kenal dengan kartun Pingu dengan igloo nya, Barney dengan tarian dan nyanyiannya, dan Bob the Builder dengan jentolaknya yang boleh bercakap.
Manakala tingkat 3 yang bertemakan Thomas and Friends melengkapkan pengalaman manis untuk kanak-kanak. Thomas the Train, menunggang kereta api mini ini ialah tarikan yang paling terkenal di tingkat ini.
Terdapat juga mini ferris wheel yang bertemakan watak kartun Thomas. Di samping itu, terdapat sebuah restoran di sini yang dinamakan Lat’s Place bersempena dengan artis komik Malaysia yang terkenal iaitu Lat.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor

28. Desaru Coast Adventure Waterpark



Desaru Coast Adventure Waterpark
Sumber: Desaru Coast Adventure Waterpark

Tidak puas lagi bermandi-manda di Austin Heights atau Dinasour Alive? Jom puaskan lagi keinginan bermain air di Desaru Coast Adventure Waterpark.
Terletak di dalam kawasan berkeluasan 21 ekar, Desaru Coast Adventure Waterpark 5 zon tarikan berbeza dengan permainan-permainan air dan kering.
Bagi yang sudah puas menyegarkan badan, anda boleh menuju ke padang golf Desaru yang menyajikan pemandangan lanskap tropika serta Laut China Selatan yang sangat mendamaikan jiwa.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Persiaran Pantai, Desaru Coast, 81930 Bandar Penawar, Johor

27. Angry Birds Activity Park, Johor Bahru



Angry Birds Activity Park Johor
Sumber: Angry Birds Activity Park

Masih tidak cukup dengan Lego dan Hello Kitty, sebuah lagi taman tema kanak-kanak yang bertemakan permainan animasi terkenal, Angry Bird juga dibuka di Johor Bahru. Dibuka di Komtar JBCC, taman hiburan ini mengandungi lebih sedozen permainan untuk kanak-kanak. Antaranya ialah Red’s Jungle Run, permainan ini dibina seperti permainan animasi Angry Bird sendiri.
Oleh itu para pengunjung dapat bermain permainan ini dalam kehidupan sebenar sambil mengalami perasaan menjadi watak-watak dalam permainan tersebut. Tidak cukup dengan itu, di kawasan South Beach, anda boleh bermain permainan Angry Bird ini di skrin besar sambil menonton filem Angry Bird secara percuma. Terdapat juga restoran dan kedai cenderamata disediakan di sini.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Level 3, Komtar JBCC, Johor Bahru City Centre, Johor Bahru


26. Kuso Trick Art Gallery, Johor Bahru



Kusa Trick Art Gallery
Sumber: Kuso Trick Art

Galeri seni 3D yang terletak agak tersembunyi di Johor Bahru mula dibuka apabila pengasasnya mendapat idea setelah pulang dari pertunjukan 3D di Korea dan China. Sesuai untuk pengunjung yang suka bergambar, galeri ini menawarkan pelbagai lukisan seni yang seakan-akan benar.
Anda boleh bergambar dalam pelbagai gaya di samping menggunakan prop yang anda bagi mendapatkan gambar yang bermutu untuk anda muat naik dalam laman sosial anda.
Terdapat pelbagai tema lukisan di sini antaranya ialah komedi, seram, dan romantik. Para pengunjung akan diberikan taklimat ringkas oleh kakitangan galeri ini sebelum memulakan jelajah mereka.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru

25. Dinosaur Alive Water Theme Park, Johor Bahru



Dinosaur Alive Water Theme Park Johor Bahru
Sumber: KSL Resorts

Dikendalikan oleh KSL Hotel & Resort, taman tema yang mula beroperasi pada 2013 ini bertemakan dinosaur. Para pengunjung akan disambut dengan ngauman Tyrannosaurus Rex. Terdapat beberapa gelongsor air yang agak kecil dan bersesuian untuk kanak-kanak.
Di samping itu, terdapat juga replika dinosaur yang mencapai ketinggian 85 kaki. Antara tarikan lain di sini ialah terdapat dinosaur animasi yang akan bergerak secara tiba-tiba apabila ada pengunjung yang datang berdekatan.
Buat pengunjung yang datang membawa keluarga ke sini, jika anak anda tidak berhati-hati, anak anda mungkin terkejut dan akan menangis.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Tingkat 7, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru

Taman tema & zoo lain di Johor:
  • Wet World (Batu Pahat)
  • Tropical Village (Kluang)
  • Nanyan Aquarium (Kulai)

Tarikan Alam Semula Jadi Di Johor

Kecantikan alam semula jadi di negeri Johor tidak boleh disangkal lagi. Hampir setiap daerah di negeri ini mempunyai taman negara, air terjun, atau gunung-ganang sendiri.

24. Tanjung Piai, Pontian



Tanjung Piai
Sumber: Saya Orang Johor

Mercu tanda setinggi 20 meter menandakan bahawa Tanjung Piai merupakan tanah paling selatan bagi benua Asia. Dibina pada tahun 2001, mercu tanda itu berwarna kelabu bagi melambangkan hutan paya bakau di Tanjung Piai.
Merupakan kawasan penghijrahan pelbagai jenis burung dan rumah kepada bermacam-macam haiwan liar, kawasan paya bakau di sini dideklarasikan sebagai taman negara pada tahun 2004 dan berkeluasan sehingga 900 hektar.
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, Tanjung Piai menjadi kawasan kegemaran para pemancing dan kepada yang suka bersiar-siar melihat pemandangan Selat Tebrau.
Terdapat juga jambatan kayu merentasi hutan paya bakau untuk membolehkan para pengunjung berjalan di tengah-tengah hutan paya bakau ini. Dan yang paling menarik sudah pastinya sebuah monumen yang menandakan Tanjung Piai sebagai titik hujung benua Asia dan dibina di atas pelantar yang menganjur ke laut Selat Melaka.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Tanjung Piai, Pontian

23. Air Terjun Kota Tinggi, Kota Tinggi



Air Terjun Kota Tinggi
Sumber: Media Johor

Terletak 15km dari pekan Kota Tinggi, air terjun ini menjadi kawasan tumpuan baik yang datang berkeluarga atau yang inginkan berseronok bersama rakan-rakan. Terdapat gelongsor air dan air terjun pelbagai tingkat dari cetek hingga dalam, anda pasti akan berpuas hati jika datang berkunjung ke sini.
Sentiasa penuh terutamanya pada hujung minggu atau cuti sekolah, anda boleh menginap di Resort Air Terjun Kota Tinggi yang terleetak berdekatan dengan air terjun ini. Untuk bermain gelongsor air, anda boleh menyewa pelampung di sini pada kadar harga yang berpatutan. Air terjun utama terletak selepas kedai sewa pelampung. Di sini, pengunjung gemar bertenggek di bawah air terjunnya yang deras mengalir.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Air Terjun Kota Tinggi, Kota Tinggi

22. Gunung Ledang, Muar



Gunung Ledang
Sumber: Joshua Yong

Siapa saja yang tidak kenal dengan kisah mistik gunung ini. Gunung yang paling tinggi di Johor ini merupakan gunung kegemaran bagi para pendaki gunung atau hiker.
Pendakian yang biasanya mengambil masa selama 5 hingga 6 jam tidaklah sesenang yang disangka. Trek di gunung in berbatu dan licin serta ada bahagian yang memerlukan bantuan tali untuk sampai ke puncak.
Terdapat dua denai untuk sampai ke puncak, iaitu melalui Asahan, Melaka atau melalui Resort Gunung Ledang, Muar.
Anda boleh memilih denai tersebut mengikut kemampuan anda. Adalah disarankan untuk anda membeli permit dan melaporkan aktiviti anda terlebih dahulu atas faktor keselamatan.

21. Kulim Eco Trail Retreat



Kulim Eco Trail Retreat
Sumber: Kulim Eco-TRAIL Retreat

Sekiranya percutian anda di Johor bukan sekadar untuk menikmati pemandangan atau bersantai, datanglah ke Kulim Eco Trail Retreat. Di sini anda dapat merasakan kepuasan sebenar melakukan aktiviti outdoor yang dapat membina stamina dan memacu adrenalin anda ke tahap maksimum.
Secara keseluruhannya terdapat 20 aktiviti team building yang boleh dilakukan. Sambil beraktiviti anda dapat menyaksikan pemandangan indah penuh dengan kehijauan dan ketenangan aliran Sungai Johor.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, 81900 Kota Tinggi, Johor

20. Air Terjun Gunung Ledang, Muar



Air Terjun Gunung Ledang
Sumber: Hafiz Arif

Dan jika anda sudah penat mendaki, anda boleh hilangkan lelah anda dengan berehat di air terjun di kaki gunung ini. Air terjun yang bersih dan sejuk ini merupakan destinasi menarik di Muar yang memang sudah terkenal di kalangan penduduk Johor dan pelancong luar.
Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini antaranya berkhemah, berkelah, meredah hutan di samping mandi manda. Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan lain disediakan di sini seperti surau, bilik persalinan, dan tandas.
Letih mendaki, diubat dengan air terjun yang sejuk dan nyaman, Gunung Ledang sudah pastinya patut berada dalam senarai penjelajahan anda.

19. Kota Tinggi Firefly Park



Kota Tinggi Firefly Park
Sumber: Kota Tinggi Firefly Park

Ingin tenggelam dalam dunia magikal seperti dikelilingi oleh bintang yang berkerlipan? Anda boleh menikmatinya sekira ke Kota Tinggi Firefly Park.
Di sini, anda sekeluarga berpeluang menaiki bot untuk menyelusuri sungai dan melihat kehadiran kelip-kelip yang banyak berterbangan di sekitar memandangkan Kota Tinggi merupakan kawasan yang cukup terjaga alam semula jadinya.
Namun begitu, Kota Tinggi Firefly Park menetapkan minimum seramai 6 orang untuk sekali trip menyelusuri sungai.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Kota Tinggi, 81900 Kota Tinggi, Johor

18. Gunung Lambak, Kluang



Gunung Lambak
Sumber: Amer Hafiz

Berketinggian 510m dari aras laut, Gunung Lambak merupakan antara gunung yang mudah didaki justeru menjadikannya antara tempat yang sering dilawati di Kluang. Gunung ini mempunyai dua puncak dan beberapa denai untuk sampai ke kedua-dua puncak tersebut. Treknya penuh dengan flora dan fauna yang mempersonakan dan tidak terlalu memenatkan. Anda akan melalui jalan simen dahulu.
Tiba di suatu bahagian, anda perlu menempuh hutan dan sedikit cerun bukit untuk sampai ke puncak. Sesudah tiba di tengah bukit, anda akan jumpa satu papan tanda untuk anda berehat sebentar. Anda boleh memilih untuk ke Puncak Utara atau Puncak Selatan dari situ (untuk maklumat anda, pemandangan di Puncak Utara lebih cantik).
📍 Alamat
Alamat: Gunung Lambak Recreational Forest, Kluang

17. Zenxin Organic Park, Kluang



Zenxin Organic Park Kluang
Sumber: Shirley Lai

Anda boleh datang ke sini jika anda ingin merasa buah-buahan segar yang boleh dipetik sendiri dari ladang. Kilang yang pada mulanya menghasilkan baja kemudian bertukar menjual hasil pertanian organik ini akan menyambut tetamunya dengan teh buah mulberi yang dibancuh segar.
Ladang ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung yang datang ke sini. Anda boleh melawat kebun buah naga, kebun buah mulberi, kebun timun, di samping melawat ladang ternakan arnab dan itik. Anda boleh memilih untuk berjalan atau menyewa basikal untuk melawat ladang yang sangat besar ini.
Terdapat juga aktiviti seni yang sangat unik di mana anda perlu mengetuk bunga di atas kertas sehingga ia meninggalkan kesan dan warna mengikut bunga tersebut. Terdapat banyak makanan untuk pengunjung setelah lawatan selesai, anda perlu mencuba jus buah mulberi dan jus buah naga yang amat menyegarkan dan enak.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: No.8, Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, Kluang

16. Taman Awam Hutan Bandar, Johor Bahru



Taman Awam Hutan Bandar
Sumber: Bangsa Johor

Kawasan seluas 50 ekar ini merupakan definisi taman hijau dalam bandar. Terletak hanya 1.5km dari bandar raya Johor Bahru, kawasan rekreasi ini masih mengekalkan kehijauan tamannya yang nyaman dan bersih. Kawasan tumpuan penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu, taman ini sesuai untuk anda beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan.
Terdapat kolam mandi awam dibuka untuk kanak-kanak pada hujung minggu dan cuti umum. Anda boleh berjoging di sini meliliingi sekitar taman dan 7 buah tasik yang berada di seluruh taman ini. Dan kepada yang ingin berkhemah di sini, kadar bayaran yang dikenakan amat berpatutan dan meliputi kemudahan awam yang lain seperti surau, bilik air, dan lain-lain.

15. Hutan Lipur Gunung Pulai, Kulai



Hutan Lipur Gunung Pulai, Kulai
Sumber: Ace Creationz

Siapa sahaja yang tidak ingat akan kisah banjir lumpur yang telah mengorbankan lima nyawa di kaki Gunung Pulai di samping menghanyutkan empat buah rumah di kampung sekitar. Hutan lipur yang menjadi tumpuan peminat aktiviti lasak ini kemudiannya ditutup selepas kejadian itu.
Namun begitu, pada tahun 2016, kawasan ini dibuka semula untuk pengunjung datang ke sini dan menikmati keindahan alam semula jadi di gunung ini. Terdapat dua hutan lipur di sini, Gunung Pulai yang setinggi 654m dari aras laut ini sesuai untuk pendakian senang.
Pemandangan apabila anda berada di puncak juga sangat cantik dengan pemandangan kawasan kampung di sekitar kaki gunung tersebut.
Dan yang paling menarik, di sepanjang pendakian anda boleh bertemu dengan banyak air terjun yang nyaman dan sesuai untuk anda menyejukkan kaki dan berehat jika anda penat mendaki.

14. Taman Merdeka, Johor Bahru



Taman Merdeka
Sumber: FOBN

Taman Merdeka yang terletak di belakang Istana Bukit Serene merupakan salah satu lagi taman yang mengekalkan konsep taman hijau dalam bandar. Pengunjung biasanya datang ke sini untuk beriadah dan berehat menikmati kawasan sekitar taman yang indah. Terdapat trek joging mengelilingi taman ini selain pelbagai kemudahan awam lain.
Tarikan yang paling menarik di sini ialah pertunjukan air pancut bermuzik yang dibuat pada waktu malam.
Susunan pancutan air yang unik berlatar belakangkan lampu sorot yang berwarna warni diserikan lagi dengan alunan muzik yang merdu menarik pelbagai jenis pengunjung untuk datang ke sini.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Kolam Ayer, Johor Bahru

13. Taman Negara Endau Rompin, Mersing



Taman Negara Endau Rompin, Mersing
Sumber: Tourism Johor

Bagi peminat aktiviti lasak dan pencinta alam semula jadi, taman negara ini sudah pastinya berada dalam wishlist mereka. Berkeluasan sehingga 80,000 hektar, taman negara yang berkongsi dengan negeri Pahang ini merupakan taman negara kedua di Malaysia dan sangat kaya dengan flora dan fauna yang unik dan tersendiri.
Haiwan seperti gajah, tapir, rusa, dan harimau adalah antara binatang liar yang boleh didapati di sini. Di samping tarikan fauna, keunikan flora di sini seperti herba dan orkid menjadi kawasan tumpuan para pengkaji dan penyelidik untuk ‘menginap’ di dalam hutan ini untuk berminggu-minggu.
Untuk peminat aktiviti lasak, anda boleh melakukan jungle trekking dan berkhemah di dalam taman negara ini di samping mandi manda di air terjun yang terdapat di sini.
Tarikan alam semula jadi lain di Johor:
  • Air Terjun Sungai Bantang (Segamat)
  • Gunung Muntahak (Kota Tinggi)
  • Hutan Lipur Gunung Belumut (Kluang)
  • Hutan Lipur Gunung Panti (Kota Tinggi)
  • Hutan Lipur Gunung Arong (Mersing)

Monumen & Bangunan Bersejarah Johor

12. Muzium Kota Tinggi, Kota Tinggi



Muzium Kota Tinggi
Sumber: PBJ

Muzium dua tingkat yang dibuka kepada orang awam pada tahun 2002 ini menyimpan pelbagai sejarah negeri Johor Darul Takzim. Pameran yang berasaskan zaman Kesultanan Johor Lama, muzium ini dibina di Kota Tinggi kerana daerah ini merupakan titik permulaan takhta pemerintahan Johor lama sehingga sekarang.
Empat fasa peristiwa menjadi konsep utama pameran di Muzium Kota Tinggi, muzium ini menunjukkan bahan peninggalan tembikar lama, peralatan senjata dan muzik yang digunakan pada zaman dahulu dan bermacam-macam bahan sejarah yang lain.
Dan yang paling menarik, pengunjung berpeluang merasai hidup pada zaman Kesultanan Johor Lama dengan menghayati lukisan kanvas yang menceritakan kisah hidup orang zaman dahulu.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: JKR 1858 (P), Jalan Laksamana, Kota Tinggi

11. Muzium Warisan Tiong Hua, Johor Bahru



Muzium Warisan Tiong Hua
Sumber: Chinwoo Btu

Muzium yang terletak di Jalan Ibrahim dibuka pada hari Selasa hingga Ahad. Dibina oleh Persekutuan Tiong Hua, muzium mempamerkan sejarah perkembangan masyarakat Cina di negeri Johor.
Muzium yang dibuka pada tahun 2009 ini mengekalkan lebih 1000 dokumen bersejarah dan 300 barangan koleksi lama. Antara pameran yang terdapat di muzium ini ialah sejarah kedatangan, kesenian muzik dan kebudayaan masyarakat Tiong Hua dari pertengahan abad ke-19 hingga sekarang.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: No 42, Jalan Ibrahim, Johor Bahru

10. Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru



Bangunan Sultan Ibrahim Johor Bahru
Sumber: Soham Pablo / CC By 2.0

Merupakan bekas pusat pemerintahan Johor, bangunan ini sekarang dijadikan sebagai salah satu tarikan utama pelancong di Johor Bahru.
Bangunan yang mengabungkan seni bina kesultanan Johor, seni bina kolonial, dan seni bina Islam ini siap dibina pada tahun 1940 bertujuan untuk menyelaraskan dan menyatukan sistem pentadbiran negeri.
Infrastruktur luar yang mempunyai gaya kolonial, seni bina dalaman Bangunan Sultan Ibrahim mengikut gaya Melayu Johor dan terdapat sentuhan seni bina Islam pada ukiran-ukiran pada bangunan ini.
Pada pencinta sejarah, anda harus berkunjung ke sini kerana Bangunan Sultan Ibrahim ini juga merupakan benteng pertahanan ketika Perang Dunia Kedua.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru

9. Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru



Masjid Negeri Sultan Abu Bakar
Sumber: Saya Orang Johor

Masjid yang dirasmikan pada tahun 1900 oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar ini juga merupakan masjid negeri Johor. Mengambil nama sempena Almarhum Sulta Abu Bakar Daeng Ibrahim, masjid ini dibina mengikut seni bina Islam Barat dan mempunyai 4 buah menara di setiap sisi masjid.
Mampu memuatkan sehingga lebih 3,000 umat Islam dalam satu masa, tidak rugi anda datang ke sini untuk bersolat dan berehat bersama penduduk tempatan.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru

8. Dataran Penggaram, Batu Pahat



Dataran Penggaram
Sumber: MZN Snapshot

Juga dikenali sebagai Dataran Batu Pahat, dataran in terkenal dengan mengadakan pelbagai festival bersempena hari sambutan di Malaysia seperti Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidlifitri dan Tahun Baru Cina. Penduduk tempatan juga gemar berkunjung ke Tugu Batu Pahat yang kelihatan seperti batu dipahat oleh sepasang tangan.
Selain itu, penduduk tempatan juga selalu berkunjung ke sini pada hari biasa untuk bersantai dan beriadah. Ada juga yang bermain laying-layang di sini di samping terdapat gerai makanan di sekitar dataran.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, Batu Pahat

7. Muzium Nenas, Pontian



Muzium Nanas Johor
Sumber: Muzium Nanas Johor

Terletak di sebuah pecan kecil bernama Pekan Nenas, pameran di muzium ini bertemakan buah nenas. Jenis-jenis nenas, aktiviti penanaman nenas, pemprosesan produk nenas, dan pelbagai lagi info menarik berkaitan nenas ada dipaparkan di sini.
Anda juga dapat melihat pelbagai jenis nenas yang ditanam di bahagian luar muzium ini. Selain itu, anda juga dapat membeli pelbagai barangan berasaskan nenas seperti jem dan jus.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi💲 Harga Tiket
Alamat: Batu 32, Jalan Johor Pontian, Pontian

6. Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad

Bangunan Dato' Jaafar Muhammad
Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad adalah sebuah bangunan kerajaan dengan reka bentuk yang begitu mengagumkan. Tiada siapa dapat menyangka yang ianya adalah sebuah bangunan baru dan bukannya dari era klasik.
Bangunan ini dibina hasil daripada inspirasi Istana Alhambra di Granada dengan sedikit olahan pengaruh Johor-Melayu. Di belakang bangunan ini turut terdapat sebuah kawasan taman dengan lanskap yang sangat menarik untuk anda yang suka berfotografi.
📍 Alamat
Alamat: Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, 79100 Nusajaya, Johor

5. Istana Bukit Serene, Johor Bahru



Istana Bukit Serene
Sumber: Pahlawan Johor

Merupakan istana diraja dan kediaman rasmi buat Sultan Johor sejak 1998, istana ini terletak di atas Bukit Serene dan boleh dilihat dari Danga Bay. Landskap tamannya yang cantik selalu dijadikan tempat untuk upacara diraja.
Di samping itu, Angkatan Tentera Johor bertugas untuk melindungi istana ini. Walaupun Istana Bukit Serene tidak dibuka untuk kunjungan awam, ramai yang gemar datang ke sini untuk bergambar dan melihat sendiri keindahan istana ini.
📍 Alamat
Alamat: Jalan Straits View, Bukit Serene, Johor Bahru

Syurga Membeli Belah Di Johor

Selain Kuala Lumpur, Johor juga merupakan syurga untuk kaki shopping. Mempunyai lebih 20 pusat membeli belah yang menjual barang-barang tempatan dan luar negara, anda tidak akan silap untuk menghabiskan duit anda di sini.

4. Johor Premium Outlet, Kulai



Johor Premium Outlet
Sumber: Johor Now

Siapa saja yang tidak kenal akan JPO. Dibuka pada tahun 2011, tempat ini antara pusat membeli belah yang terkenal dengan menjual barangan yang berjenama mewah dan eklusif pada harga yang berpatutan.
Hampir setiap hari, setiap kedai di sini menyediakan potongan harga dari 25% hingga 65%. Dan pada musim perayaan, anda mungkin berpeluang untuk mendapatkan barangan mewah dengan potongan harga sebanyak 90%.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: Jalan Premium Outlets, Indahpura, Kulai

3. JB City Square, Johor Bahru



JB City Square Johor Bahru
Sumber: Victor Lee

Pusat beli belah yang terletak di tengah bandaraya Johor ini mengandungi lebih 300 peruncit yang terdiri daripada barangan fesyen, gerai makanan, dan pusat hiburan. JB City Square ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Johor Bahru untuk keluar pada hujung minggu, malahan penduduk Singapura juga selalu datang ke sini untuk membeli belah.

2. Bazar Karat, Johor Bahru



Bazar Karat Johor
Sumber: Pasar Karat JB

Kepada peminat uptown atau pasar malam, anda boleh datang ke sini pada setiap hari. Kemeriahan kehidupan malam di sini telah menarik perhatian penduduk sekitar mahupun Singapura untuk datang menikmati suasana di sini. Terdapat pelbagai jenis barangan dijual di sini, antaranya baju dan seluar, cenderamata, kasut dan sandal, wangian dan bermacam lagi.
Bazar Karat ini menjadi tumpuan ramai kerana pengunjung boleh tawar menawar ketika berurus niaga dengan penjual di sini. Selain itu, anda boleh berehat di gerai-gerai makanan yang terdapat di sekitar bazar ini sambil melayan persembahan muzik jalanan yang berbakat. Dan bagi peminat barangan bundle dan rare, Bazar Karat pasti menjanjikan satu pengalaman yang berharga untuk anda mencari barang-barang pilihan anda.
📍 Alamat⌚ Waktu Operasi
Alamat: No 26 – 20, Jalan Segget, Johor Bahru

1. Ayer Hitam, Batu Pahat



Ayer Hitam Batu Pahat
Sumber: jjfm1053.blogspot.co.uk

Siapa sahaja yang tidak kenal akan tempat ini. Terkenal dengan kerepeknya yang sedap, Ayer Hitam juga ada menjual kudapan lain seperti dodol, asam, dan pelbagai makanan tradisional yang lain.
Bagi peminat kerepek, anda boleh ke gerai Wak Man di mana anda berpeluang untuk mencuba rasa kerepeknya yang sedap sebelum anda membeli di samping harga yang murah dan servis yang amat baik. Selain itu, bagi peminat tembikar, gerai-gerai di sini ada menjual pelbagai jenis rekaan tembikar yang bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.

Keistimewaan Makanan Di Johor

Setiap negeri di Malaysia mempunyai makanan yang mengikut ciri-ciri tempatan. Walaupun setiap tempat berbeza, semua makanan itu pasti sedap dan enak untuk seluruh rakyat Malaysia. Di Johor juga tidak kurang hebatnya, hampir di setiap sudut di negeri ini mempunyai makanan tradisional mereka sendiri yang sangat unik dan sedap. Mai Singgah akan menceritakan sedikit tentang makanan tradisional di Johor ini.
Laksa Johor – Walaupun hamper setiap negeri mempunyai resipi laksa tersendiri, Lakso Johor agak berbeza dengan resipi negeri lain kerana mee yang digunakan adalah dari jenis spaghetti. Kuahnya pula agak pedas dan pekat sambil dihidangkan dengan sambal belacan.
Mee Bandung Muar – Makanan yang sangat popular di kalangan penduduk Muar ini telah menarik minat dari seluruh Malaysia untuk datang ke Muar dan mencuba mee ini. Dimasak sekali dengan makanan laut, aromanya yang memikat pasti meyakinkan anda mengapa orang ramai dari serata Malaysia datang ke sini untuk mencuba sendiri Mee Bandung Muar.
Mee Rebus Johor – Kuah mee rebus ini membezakan rasanya daripada mee rebus di negeri-negeri lain. Kalau di tempat lain kuahnya ialah sup, di Johor pula kuah mee rebus agak pekat dan tidak rasa seperti sup. Rasanya sungguh enak dan sesuai walaupun warnanya agak aneh.
Kacang Pool – Roti bakar yang dihidang bersama kuah pekat berempah ini menjadi pilihan buat penduduk Johor untuk minum petang atau sarapan pagi. Rasa kuahnya yang mengandungi rempah kurma dan beriyani pasti membuatkan anda menjilat licin mangkuk tersebut.
Roti Kirai – Roti ini yang dikenali sebagai Roti Jala di negeri lain mempunyai rasa yang agak sama seperti yang lain. Selain nama panggilannya yang berbeza, rasa kari yang dihidangkan bersama roti kirai ini agak berbeza mengikut cita rasa masing-masing.

Kredit : https://www.maisinggah.com/




Nak buat DUIT tepi hanya dengan SHARE Di FACEBOOK ??  KLIK SINI & SINI
Nak SHOPPING sambil BERJIMAT ??  KLIK SINI  
Nak buat SURVEY sambil dapat GANJARAN ?? KLIK SINI






Lagi Artikel Terbaik Untuk Anda

Jana Income Dengan INSTAGRAM !

Jana Income Dengan FACEBOOK FANPAGE !

Kongsikan Pendapat atau Cadangan Anda kepada JOMLAHH TRAVEL

Name

Email *

Message *